Followers

Friday 6 May 2011

Aku Rindu (Bahagian 1)


Aku rindukan kenangan sewaktu belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Pada waktu tu aku berumur 6 tahun. Berpakaian baju melayu hijau yang dijahit oleh ibu tercinta. Kopiah pun sama. Dulu ma pandai ‘kait’ kopiah untuk aku sewaktu belajar di PASTI. Sekarang ni ma dah tak pandai nak ‘kait’ kopiah lagi tambahan ma dah semakin sibuk menyiapkan baju-baju kurung yang tak pernah ‘surut’ dari tempahan dan juga sibuk menguruskan kedai runcit. Aku pergi ke PASTI setelah pelajar sekolah rendah sudah lengang di atas jalan. Pergi dengan membonceng motosikal Honda C70-CDI abah. Aku masih ingat lagi no pendaftaran motosikal tu DV 5659, yang sekarang ni telah dijual kepada kawan abah. Kadang-kadang aku ternampak juga motosikal tu di atas jalan yang kadang-kadang tu dirempit oleh anak muda, anak kawan abah barangkali. Setelah hantar aku ke PASTI, abah terus berlalu untuk ke pejabatnya yang jaraknya lebih kurang setengah jam perjalanan.

Kawan rapat aku masa tu kalau tak silap Hayyul atau nama manjanya Ayu. Tidak lupa juga Shahriman dan seorang lagi aku lupa siapa nama. Tetapi semua tu dah tinggal kenangan kerana aku sekarang dah kurang mengenali mereka kecuali Shahriman yang biasa aku jumpa. Pagi-pagi sementara menunggu cikgu sampai pasti aku dan kawan-kawan akan bermain buaian besi yang tunggu masa untuk rosak. Walaupun begitu, aku rasa seronok masa tu. Aku diajar oleh 2 orang guru. Cikgu A dan Cikgu Ah. Sampai sekarang aku tak tau apa nama penuh guru-guru aku tu. Cikgu Ah ada anak yang sebaya dengan aku dan merupakan kawan rapat aku masa tu, namanya Fikri kalau aku tak silap. Terasa seronok sangat masa tu belajar ABC dan belajar doa-doa harian. Ada juga beberapa istilah Arab yang diguna pakai masa tu, tapi semua istilah tu aku dah lupa.

 
Sewaktu di PASTI aku merupakan salah seorang ketua. Aku juga pernah terpilih menjadi wakil PASTI ‘bersyarah’ di peringkat Jajahan Bachok. Sungguh tak sangka aku dapat johan dan mewakili Jajahan Bachok ‘bersyarah’ di peringkat Negeri Kelantan. Cikgu-cikgu banyak bantu aku masa tu. Masa tu aku ‘bersyarah’ di Balai Islam. Aku pergi ke sana pun naik bas mini bersama cikgu. Walaupun aku tak menang masa tu tapi ada sesuatu yang berlaku yang takkan aku lupa sampai bila-bila. Biarlah ia menjadi rahsia antara aku, cikgu dan ma. Masih terngiang lagi beberapa baris ‘syarah’ masa tu yang berbunyi:

Ibu,
Engkaulah permata,
Kaulah cahaya hidupku,
Kerna kau,
Aku di sini…Oh ibu…

Ketika tiba waktu pulang, aku diambil oleh arwah atuk yang sentiasa duk tercegat di luar pagar PASTI. Masa tu arwah atuk dah tua tapi masih larat lagi untuk ambil aku setiap hari dengan menunggang basikal ‘tua’. Aku terasa sangat bahagia masa tu. Sewaktu menulis entry ni, tiba-tiba air mata aku menitis mengenangkan arwah atuk yang dah setahun setengah meninggalkan alam dunia ni. Teringin rasanya aku nak bawak atuk naik basikal ronda-ronda kampung. Aku masih ingat lagi semasa hari penganugerahan sijil PASTI, arwah atuk bermandikan hujan manggagahkan diri pergi mengambil aku di PASTI. Masa tu aku bawak bersama sijil yang aku dapat semasa majlis penganugerahan tersebut. Disebabkan hujan, sijil aku basah dan dakwat pen yang ditulis pada sijil tersebut hampir terpadam. Namun, ianya akan jadi kenangan bersama arwah atuk yang tidak akan pernah aku lupakan. Aku rindukan arwah atuk. Aku doakan moga-moga atuk bahagia di akhirat nanti.

Sekarang, zaman dah berubah. Ma dah tak ‘kaitkan’ kopiah untuk aku lagi. Ma dah tak buatkan lagi aku baju melayu. Abah dah jual motosikal yang bersejarah pada aku. Basikal arwah atuk pun dah lama tiada. Tetapi yang paling nenyedihkan, aku tak dapat jumpa atuk lagi. Aku dah kurang mengenali kawan-kawan masa aku kanak-kanak dulu. Buaian buruk tempat bermain pun dah tiada lagi. PASTI tempat aku belajar dah dirobohkan dan diganti dengan PASTI baru yang lebih besar dan selesa. Namun, AKU RINDU SEMUA KENANGAN LALU.

 arwah atuk akan tetap ku kenang sampai bila-bila

Wednesday 4 May 2011

Nota Hati Buat Sahabat AMU

Pertamanya saya ingin memohon maaf kerana tindakan saya keluar dari group AMU. Saya perlukan masa sekejap untuk merancang supaya matlamat saya berada dalam group tu tercapai. Di sini saya akan terangkan serba sedikit matlamat saya. Tiada kaitan dengan sesiapa, cuma sekadar pandangan sisi dari saya.

Tujuan utama saya berada dan mengaktifkan group AMU adalah kerana ukhuwah yang mungkin saya tak merasa bersama sahabat-sahabat sepanjang berada di MAIP. Mungkin juga kerana saya tak lama di MAIP. Tapi sesungguhnya saya tidak menyesal meninggalkan MAIP suatu ketika dahulu. Saya nampak ukhuwah dalam AMU semakin erat. Tapi saya agak kesal kerana ada juga yang kadang-kadang membuat saya tak selesa seperti perbincangan topik-topik agama yang hangat seakan-akan mahu bergaduh dan masing-masing nak kata ‘saya sahaja yang betul, anda semua mesti ikut saya’. Selain itu, tidak terkecuali juga ada yang ‘terover akhuwah’ sehingga membincangkan perkara-perkara yang lagha dan kadang-kadang boleh membuka aib sahabat-sahabat yang lain. Saya bukan tidak boleh terima hakikat tu semua, cuma saya perlukan masa untuk saya fikirkan macam mana untuk saya atasi semua kekurangan tu.

Selain itu, saya juga berhasrat group AMU akan menjadi salah satu group perbincangan ilmiah tidak kiralah sama ada ilmu berkaitan agama mahupun keduniaan sebab segala ilmu itu semuanya kembali kepada Allah. Saya dapati banyak perkara dan perbincangan ke arah itu. Saya rasa objektif ini agak tercapai dan saya tidak nafikan.

Kemudian, saya juga perhatikan post-post dan komen-komen sahabat. Yang terlibat secara langsung dalam group sebenarnya tidak lebih dari 30 orang sedangkan ahli group sudahpun mencapai 130 orang. Saya bersangka baik mungkin ramai sahabat tak online time saya online ataupun ada sahabat yang sekadar menjadi pemerhati. Tapi bukan itu persoalan utama, yang utamanya ialah saya terfikir macam mana untuk libatkan hampir majoriti sahabat-sahabat dalam AMU. Group facebook bukan segalanya. Nanti saya akan kemukan cara untuk menarik dan melibatkan sahabat-sahabat yang lain.

Seterusnya, saya menaruh harapan tinggi dalam group AMU. Saya terfikir beberapa perkara yang mungkin sahabat-sahabat fikir ianya agak mustahil untuk dilaksanakan. Tapi saya akan tetap berusaha kepada sesiapa yang berminat iaitu untuk menubuhkan ‘team consultant’. Penubuhan kumpulan ini adalah pertamanya untuk membuktikan bahawa ‘team batch AMU’ adalah antara yang terbaik. Bukan untuk dibanggakan tetapi untuk menjadi ikutan kepada batch-batch yang lain terutamanya batch adik-adik yang masih di sekolah. Keduanya ialah bagi membantu sekolah MAIP khasnya dan sekolah-sekolah lain amnya. Semoga usaha murni ini akan berjalan lancer tetapi penglibatan komitmen dari sahabat-sahabat sangatlah diperlukan.

Akhir kata, saya antara salah seorang yang terlibat dalam penubuhan alumni batch AMU. Jadi segala kebaikan dan keburukan semuanya akan datang kepada saya semula. Semua orang mahukan kebaikan dan menolak keburukan. Setiap tindakan yang saya dan sahbat-sahabat lain buat mestilah betul supaya lebih banyak kebaikan berbanding keburukan hadir dalam memacu batch AMU. Sekian.

semoga ukhuwah kita akan terus berkekalan

Note: Ini sekadar luahan hati dari saya. Saya tujukan kepada orang-orang kuat AMU khasnya dan semua sahabat AMU amnya.

Tuesday 3 May 2011

Jika Benar Osama Mati...

Jika benarlah Osama bin Laden benar-benar telah dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat seperti yang diumumkan oleh Presiden Barrack Obama semalam, maka saya sebagai seorang Islam mendoakan rahmat dan keampunan Allah SWT untuk Osama bin Laden yang merupakan saudara saya di dalam Islam.

Inilah yang dituntut oleh Islam sewaktu menerima berita kematian saudara seagamanya. Sebesar manapun kesalahan seorang muslim, jika ia mati dalam keadaan agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara muslim yang lain.


Adapun keterlibatan Osama bin Laden dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah SWT kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Jika benar beliau terlibat dengan kegananasan, sudah tentu saya tidak menyokong keganasan tersebut.


Bagaimanapun keterlibatan Osama dengan keganasan masih lagi merupakan berita samar yang tidak dapat disahkan, namun keterlibatan Amerika Syarikat sendiri dalam keganasan sudah terbukti.


Ini jelas dengan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq yang menghancurkan kedua-dua negara ini dengan tujuan mencari senjata pemusnah yang tidak dapat dijumpai sehingga ke hari ini. Apa pula tindakan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terang-terang melakukan keganasan di bumi Palestin?


Bukan sahaja tidak bertindak, bahkan Amerikalah yang kuat menyokong Israel. Justeru, jika Osama dianggap sebagai pengganas, maka Israel lebih patut disebut sebagai ganas dan penyokongnya Amerika Syarikat juga tidak boleh lari dari digelar sebagai ganas.


Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar puntidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel.


Adapun mereka yang berkata bahawa dunia lebih selamat dengan kematian Osama, saya anggap kenyataan tersebut sebagai tidak cermat dan hanya bertujuan menampakkan diri sebagai penyokong Amerika. Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?


Sekian, wassalam.
TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar Kelantan, 30 Jamadil Awal 1432H bersamaan 3 Mei 2011M