Followers

Friday 6 May 2011

Aku Rindu (Bahagian 1)


Aku rindukan kenangan sewaktu belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Pada waktu tu aku berumur 6 tahun. Berpakaian baju melayu hijau yang dijahit oleh ibu tercinta. Kopiah pun sama. Dulu ma pandai ‘kait’ kopiah untuk aku sewaktu belajar di PASTI. Sekarang ni ma dah tak pandai nak ‘kait’ kopiah lagi tambahan ma dah semakin sibuk menyiapkan baju-baju kurung yang tak pernah ‘surut’ dari tempahan dan juga sibuk menguruskan kedai runcit. Aku pergi ke PASTI setelah pelajar sekolah rendah sudah lengang di atas jalan. Pergi dengan membonceng motosikal Honda C70-CDI abah. Aku masih ingat lagi no pendaftaran motosikal tu DV 5659, yang sekarang ni telah dijual kepada kawan abah. Kadang-kadang aku ternampak juga motosikal tu di atas jalan yang kadang-kadang tu dirempit oleh anak muda, anak kawan abah barangkali. Setelah hantar aku ke PASTI, abah terus berlalu untuk ke pejabatnya yang jaraknya lebih kurang setengah jam perjalanan.

Kawan rapat aku masa tu kalau tak silap Hayyul atau nama manjanya Ayu. Tidak lupa juga Shahriman dan seorang lagi aku lupa siapa nama. Tetapi semua tu dah tinggal kenangan kerana aku sekarang dah kurang mengenali mereka kecuali Shahriman yang biasa aku jumpa. Pagi-pagi sementara menunggu cikgu sampai pasti aku dan kawan-kawan akan bermain buaian besi yang tunggu masa untuk rosak. Walaupun begitu, aku rasa seronok masa tu. Aku diajar oleh 2 orang guru. Cikgu A dan Cikgu Ah. Sampai sekarang aku tak tau apa nama penuh guru-guru aku tu. Cikgu Ah ada anak yang sebaya dengan aku dan merupakan kawan rapat aku masa tu, namanya Fikri kalau aku tak silap. Terasa seronok sangat masa tu belajar ABC dan belajar doa-doa harian. Ada juga beberapa istilah Arab yang diguna pakai masa tu, tapi semua istilah tu aku dah lupa.

 
Sewaktu di PASTI aku merupakan salah seorang ketua. Aku juga pernah terpilih menjadi wakil PASTI ‘bersyarah’ di peringkat Jajahan Bachok. Sungguh tak sangka aku dapat johan dan mewakili Jajahan Bachok ‘bersyarah’ di peringkat Negeri Kelantan. Cikgu-cikgu banyak bantu aku masa tu. Masa tu aku ‘bersyarah’ di Balai Islam. Aku pergi ke sana pun naik bas mini bersama cikgu. Walaupun aku tak menang masa tu tapi ada sesuatu yang berlaku yang takkan aku lupa sampai bila-bila. Biarlah ia menjadi rahsia antara aku, cikgu dan ma. Masih terngiang lagi beberapa baris ‘syarah’ masa tu yang berbunyi:

Ibu,
Engkaulah permata,
Kaulah cahaya hidupku,
Kerna kau,
Aku di sini…Oh ibu…

Ketika tiba waktu pulang, aku diambil oleh arwah atuk yang sentiasa duk tercegat di luar pagar PASTI. Masa tu arwah atuk dah tua tapi masih larat lagi untuk ambil aku setiap hari dengan menunggang basikal ‘tua’. Aku terasa sangat bahagia masa tu. Sewaktu menulis entry ni, tiba-tiba air mata aku menitis mengenangkan arwah atuk yang dah setahun setengah meninggalkan alam dunia ni. Teringin rasanya aku nak bawak atuk naik basikal ronda-ronda kampung. Aku masih ingat lagi semasa hari penganugerahan sijil PASTI, arwah atuk bermandikan hujan manggagahkan diri pergi mengambil aku di PASTI. Masa tu aku bawak bersama sijil yang aku dapat semasa majlis penganugerahan tersebut. Disebabkan hujan, sijil aku basah dan dakwat pen yang ditulis pada sijil tersebut hampir terpadam. Namun, ianya akan jadi kenangan bersama arwah atuk yang tidak akan pernah aku lupakan. Aku rindukan arwah atuk. Aku doakan moga-moga atuk bahagia di akhirat nanti.

Sekarang, zaman dah berubah. Ma dah tak ‘kaitkan’ kopiah untuk aku lagi. Ma dah tak buatkan lagi aku baju melayu. Abah dah jual motosikal yang bersejarah pada aku. Basikal arwah atuk pun dah lama tiada. Tetapi yang paling nenyedihkan, aku tak dapat jumpa atuk lagi. Aku dah kurang mengenali kawan-kawan masa aku kanak-kanak dulu. Buaian buruk tempat bermain pun dah tiada lagi. PASTI tempat aku belajar dah dirobohkan dan diganti dengan PASTI baru yang lebih besar dan selesa. Namun, AKU RINDU SEMUA KENANGAN LALU.

 arwah atuk akan tetap ku kenang sampai bila-bila

6 comments:

  1. uish..macam best ja masuk PASTI..
    ~budak yang tidak merasa

    ReplyDelete
  2. sama2 kita hantar anak kita diPASTI nanti..:)

    ReplyDelete
  3. salam. Fika pun belajar kat PASTI dulu. PASTI fatimah az-zahra. banyak kenangan di situ :)

    ReplyDelete
  4. Terlalu banyak kenangan kat PASTI. Kalaulah boleh direkod kembali kenangan-kenangan tu. Acuan pertama di sekolah yang official.

    ReplyDelete